ALHAMDULILLAH PEMBINAAN SURAU BARU AL-FAAIZEEN TELAH SIAP DAN MULA DIGUNAKAN BERMULA 5/3/2013.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TELAH MENYUMBANG JARIAH SEMOGA ALLAH YANG AKAN MEMBALASNYA DENGAN GANJARAN PAHALA.
********************************************************************************

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Monday, June 27, 2011



Tuan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki

Masjid As-Salam - Kuliah Subuh - Ahad 3 Julai 2011





Al-Fadhil Syeikh Nuruddin Bin Hj. Marbu Bin Abdullah Thaiyyib berasal dari Banjar Masin. Dilahirkan di sebuah desa bernama Harus Amuntai pada 1 September 1960 M. Beliau dan keluarganya kemudiannya menetap di tanah suci Makkah pada tahun 1974. Madrasah Shaulathiah adalah tempat beliau menimba ilmu pengetahuan di sana.


Pada tahun 1982 beliau menamatkan pengajian di Madrasah Shaulathiah dengan keputusan cemerlang (mumtaz).Sepanjang di Makkah beliau banyak mendapatkan ilmu dari tokoh-tokoh Ulama seperti Syeikh Allamah Hasan Masshath yang digelar Syeikul-Ulama rahimahullah, Syeikh al-Allamah Mohd Yasin Al-Fadani yang bergelar Syeikul Hadith wa Musnidud Dunya, Syeikh Ismail Usman Zain yang digelar Al-Faqih Ad-Darrakah dan ramai lagi tokoh-tokoh ulama di Makkah.


Pada tahun 1983 beliau melanjutkan pelajaran ke Univ. Al-Azhar As-Syarif Mesir dalam jurusan Syariah Islamiah hingga mendapat ijazah sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajian di Maahad 'Ali Liddirasat al-Islamiah di Zamalik hingga mendapat diploma am "Dirasat Ulya" pada tahun 1990.


Setelah menamatkan pengajian di Univ. al-Azhar, beliau menumpukan perhatiannya dengan mencurahkan ilmunya kepada ratusan pelajar yang datang dari Asia termasuk dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Univ. al-Azhar Mesir sehingga beliau digelar sebagai al-Azharus Tsani ( Univ. Al-Azhar kedua). Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab berbahasa Arab serta karya ilmiah dalam berbagai bidang. Beliau telah menghasilkan karangan dan mentahqiq kitab-kitab muktabar tidak kurang dari 50 buah karangan.


Janganlah lepaskan peluang keemasan ini untuk berada di sebuah majlis ilmu Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki, Ulama tersohor nusantara ini. Inilah antara rezki dan rahmat Allah pada seluruh ahli khariah Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.


Marilah kita raikan kurniaan Allah ini dengan beramai-ramai bersama ahli keluarga masing-masing memenuhi setiap ruang Masjid As-Salam. Kita pecahkan rekod jumlah 600 jemaah yang bersujud pada tahajjud malam secara berjemaah pada kunjungan Syeikh kali pertama di Masjid As-Salam pada 7 Mei 2011 yang lalu.



Tuan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki




@@@

Tuesday, June 21, 2011

Kuliah Maghrib Al-Faaizeen



Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan meghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan.” Riwayat Abu ad-Darda’ r.a


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Siapa yang keluar untut menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.” Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu)atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut ) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-BazzarSabda


Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin menndapat habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.” Riwayat Abu Daud


@@@

Monday, June 13, 2011

Pengajian Kitab Sirajul Huda

Kitab Sirajul Huda



Kitab Sirajul Huda merupakan sebuah kitab lama dalam bidang tauhid yang masih lagi berlegar dipasaran kitab dan disyarah di masjid atau surau. Kitab ini telah dikarang oleh seorang ulama asal dari Sumbawa yang bernama Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi.


Syeikh Muhammad Zainuddin ialah salah seorang dari dua ulama ternama asal Sumbawa yang pernah mengajar di Masjidil Haram Makkah. Seorang lagi ulama besar Sumbawa ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah Qadhi as-Sumbawi.


Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Menurut tradisi pengajian pondok di alam Melayu, kitab Sirajul Huda biasanya dibaca sesudah menamatkan kitab Faridatul Faraid. Apabila sudah cukup memahami kitab Faridatul Faraid barulah memasuki kitab Sirajul Huda. Tetapi ada juga pondok yang mendahulukan Sirajul Huda kemudian baru mengajar Faridatul Faraid.


Sesudah kedua-dua kitab itu, yang dipandang sebagai asas ilmu tauhid, barulah memasuki kitab Ad-Durruts Tsamin. Setelah ketiga-tiga kitab itu betul-betul difahami dengan kukuh, asas Ahli Sunah wal Jamaah metod Syeikh Abu Mansur al-Maturidi tidak berganjak lagi, maka mereka akan memasuki kitab-kitab akidah yang lebih berat seumpama ad-Durun Nafis karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan lain-lain.


Berdasarkan kenyataan almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir itu, dapatlah disimpulkan bahawa kitab Sirajul Huda adalah kitab yang diajar diperingkat asas dan pertengahan dalam bidang tauhid. Ini adalah kerana kitab ini ada diajar diperingkat awal iaiatu sebagai permulaan teks dalam bidang tauhid atau di peringkat pertengahan iaitu selepas teks tauhid peringkat permulaan seperti Faridatul Faraid dikhatam.









"Ya Allah sebagaimana kau telah kurniakan nikmat, maka tambahkanlah dan tidak ada penghidupan kecuali penghidupan akhirat."

Wednesday, June 1, 2011

Majlis Ilmu - Jun 2011




Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw. beliau bersabda : "Sungguh Allah mempunyai malaikat-malaikat yang mulia yang selalu berjalan mencari majlis zikir, apabila mereka mendapatkan suatu majlis yang dipergunakan untuk berzikir, maka mereka duduk di situ dan masing-masing malaikat membentangkan sayapnya, sehingga memenuhi ruangan yang berada di antara ahli zikir dan langit dunia.




Apabila ahli zikir itu telah kembali ke rumah masing-masing, maka para malaikat itu naik ke langit, dan kemudian di tanya oleh Allah Azza wa Jalla padahal Allah telah mengetahuinya :"Dari mana kalian datang ?"Para malaikat menjawab : "Kami baru saja mendatangi hamba-Mu di bumi yang membaca tasbih, takbir, tahmid dan memohon kepadaMu."




Allah bertanya : "Apakah yang mereka minta ?"Malaikat menjawab : "Mereka minta Syurga."Allah bertanya : "Apakah mereka pernah melihat syurga-Ku ?"Para Malaikat menjawab : "Belum pernah"Allah bertanya : "Bagaimana jika mereka melihat Syurga-Ku ?"Para Malaikat menjawab : "Mereka juga mohon diselamatkan."Allah bertanya : "Mereka mohon diselamatkan dari apa ?"Para Malaikat menjawab : "Dari Neraka-Mu."




Allah bertanya : "Apakah mereka pernah melihat Neraka ?"Para Malaikat menjawab : "Belum pernah"Allah bertanya : "Bagaimana jika mereka pernah melihatnya?"Para Malaikat menjawab : "Mereka juga memohon ampun kepada-Mu."Allah berfirman : "Aku telah mengampuni mereka, maka Aku akan memenuhi permohonan mereka dan akan menjauhkan mereka dari apa yang mereka mohon untuk diselamatkan."Para Malaikat berkata : "Wahai Tuhanku, di dalam majlis itu ada si Fulan, seorang hamba yang banyak berdosa, ia hanya lewat kemudian ikut duduk bersama mereka."




Allah berfirman : "Kepada Fulan pun Aku mengampuninya. Mereka semua adalah termasuk ahli zikir, dimana tidak ada seorang yang duduk di situ akan mendapatkan celaka." (HR Bukhari Muslim)


Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : Rasulullah saw. bersabda : "Apabila berkumpul suatu kaum dalam rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Al Qur'an dan mempelajarinya, maka ketenangan pasti akan turun kepada mereka, rahmat Allah melingkupi mereka, malaikat-malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang ada didekatNya (para malaikat)." (HR Muslim)




@@@