- Wujud
- QidaM
- Baqa'
- Mukhlafatuhu Lilhawadith
- Qiyamuhu Binafsih
- Wahdaniat
- Qudrat
- Iradat
- Ilmu
- Hayat
- Sama'
- Bashar
- Kalam
- Kaunuhu Qadiran
- Kaunuhu Muridan
- Kaunuhu ‘Aliman
- Kaunuhu Hayyan
- Kaunuhu Sami’an
- Kaunuhu Bashiran
- Kaunuhu Mutakalliman
Sifat Nafsiah:
Sifat Nafsiah iaitu dari zat itu sendiri,
bukan sifat yang menumpang pada zat itu. Sifat ini dikatakan Nafsiah kerana
tidak menunjukkan makna yang menumpang pada diri zat. Menurut Jumhur Ulama’
sifat ini menunjukkan kepada zatnya, bukan menunjukkan kepada perkara yang
menumpang pada zat.
Sifat ‘Wujud’
dikatakan Sifat Nafsiah ertinya, wujud itu bukan merupakan sifat yang menumpang
atau menempel pada Zat Allah s.w.t. akan tetapi Zat Allah s.w.t. itu dengan
sendirinya kewujudan Allah. Ataupun Zat Allah dengan Wujud Allah tidak dapat
dipisahkan. Berbeza dengan Sifat Ma’ani seperti Ilmu, kerana sifat ini
merupakan sifat yang menempel pada Zat Allah. Ertinya sifat Ilmu itu terpisah
dengan Zat Allah. Sebab Allah mengetahui sesuatu dengan Ilmu-Nya, bukan dengan
Zat-Nya. Hanya sifat ‘wujud’ sahaja yang termasuk dalam Sifat Nafsiah.
Sifat Salbiah:
Salbiah
maksudnya, menanggalkan, menolak ataupun menafikan. Maksud sifat Salbiah dalam
hal ini iaitu menolak sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah s.w.t. Umpamanya
menolak sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah seperti Baqa’ ertinya kekal.
Sifat ini menafikan sifat Fana’ ataupun binasa bagi Allah s.w.t.
Sifat Ma’ani:
Sifat Ma’ani ialah sifat yang Maujud
atau ada yang berdiri pada Zat Allah s.w.t. yang menyebabkan Zat itu bersifat
dengan suatu hukum Sifat Ma’nawiyah. Umpamanya Sifat Ma’ani seperti Ilmu, sifat
ini ialah sifat yang berdiri pada Zat Allah. Ertinya Ilmu itu sifat Allah bukan
Zat Allah. Allah s.w.t. dapat mengetahui sesuatu dengan Ilmu-Nya bukan dengan
Zat-Nya. Yang menyebabkan zat itu bersifat dengan sifat suatu hukum Sifat
Ma’nawiyah maksudnya Allah dikatakan Kaunuhu ‘Aliman (Keadaan-Nya Berilmu).
Kerana Allah mempunyai sifat Sama’ maka Allah dikatakan Kaunuhu Sami’an
(Keadaan-Nya Mendengar).
Sifat Ma’nawiyah:
Sifat
Ma’nawiyah iaitu suatu perkara yang sabit atau yang tetap bagi Zat Allah s.w.t.bersifat
dengan Sifat Ma’ani. Di antara Sifat Ma’ani dengan Sifat Ma’nawiyah tidak
terpisahkan. Misalnya Keadaan Allah Berilmu (Kaunuhu ‘Aliman – Sifat
Ma’nawiyah), ini kerana Allah mempunyai sifat Ilmu (Sifat Ma’ani). Ataupun
Allah s.w.t. dikatakan Kaunuhu Qadiran (Keadaan-Nya Berkuasa – Sifat
Ma’nawiyah) kerana Allah mempunyai sifat Qudrat (Kuasa – Sifat Ma’ani) dan
bergitu seumpamanya.
Ada beberapa
sebab sifat-sifat ini dinamakan dengan Sifat Ma’nawiyah iaitu, Sifat Ma’nawiyah
merupakan cabang dari Sifat Ma’ani. Sesuatu yang bersifat dengan ‘Alim dan
Qadir umpamanya tidak boleh bersifat dengan sifat-sifat itu melainkan setelah
adanya ilmu dan qudrat baginya. Sifat Ma’ani adalah sebagai ilat atau sebagai
malzum kepada Sifat Ma’nawiyah sejak Azali lagi, perhubungan antara keduanya
adalah sebagai hubungan antara ilat dengan ma’lulnya.
Sifat yang Wajib bagi ALLAH:
1. Sifat WUJUD: Ada
Allah s.w.t.
wajib memiliki sifat Wujud ertinya Allah s.w.t. itu wajib ada. Allah
s.w.t. adalah sebagai Zat yang Wajibul Wujud ertinya Zat yang wajib
adanya. Wujudnya Allah s.w.t. tidak diragukan lagi, kerana adanya Allah dapat
dibuktikan dengan dalil Al-Quran dan Al-Hadith (dalil naqal) dan dapat
dibuktikan dengan akal (dalil aqali)
Allah s.w.t.
tidak ada yang menjadikan-Nya dan tidak pula Allah menjadikan diri-Nya sendiri.
Adanya Allah tidak diduhului dengan tiada dan tidak diakhiiri dengan tiada. Dan
mustahil Allah itu tiada. Wujudnya Allah s.w.t. mutlak ertinya adanya Allah
s.w.t. itu wajib, dan mustahil jika Allah tiada ada. Kewujudan-Nya tidak
dibatasi oleh sesuatu, waktu, keadaan mahupun tempat.
Wajib pada
Syara’ atas tiap-tiap mukalah mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan
tentu sungguh ada Allah Ta’ala dan tidak terima ‘Adam (tidak ada). Pengakuan didalam
hati dengan tentu ada sungguh Allah Ta’ala itulah dinamakan wajib pada ‘aqal.
Dan pengakuan tentu tidak, tiada Allah Ta’ala itulah dinamakan mustahil.
2. Sifat QIDAM: Sedia
Qidam ertinya ‘Sedia’, iaitu adanya Allah s.w.t. tidak
dengan permulaan dan mustahil bagi Allah kalau berpermulaan. Sebab jika Allah
berpermulaan bererti ada yang menjadikan dan jika sesuatu itu ada yang
menjadikan maka sudah pasti itu bukan Tuhan. Allah tidak beranak dan tidak pula
diperanakkan, kerana Allah Dia-lah yang awal dan Dia-lah yang akhir.
Qidamnya
Allah, atau Allah itu dahulu atau sedia, ertinya adanya Allah itu tidak bermula
dan tidak berakhiran itu maksud tiada kesudahan bagi Allah. Adanya Allah jelas
dan nyata dan menguasai atas segala yang batin atau mengetahui segala yang
tersembunyi. Zat-Nya tidak dapat disaksikan dengan mata begitu juga akal dan
hati tidak mampu untuk mengetahui tentang-Nya.
Sifat Qidam merupakan Sifat Salbiah, iaitu
menafikan atau menolak sifat yang berlawanan dengannya. Jika sudah terang dan
nyata Allah bersifat Qidam ertinya tidak berpermulaan, bererti sifat Qidam itu
sendiri menafikan sifat yang menjadi lawan dengannya, iaitu sifat Huduts atau
baharu. Adanya Allah sudah tentu semenjak dari zaman Azali lagi iaitu sebelum
segala sesuatu itu ada. Setiap insan wajib mengimani tentang kewujudan Allah
itu tidak berpermulaan dan tidak pula akan berakhir.
Wajib pada
syara’ atas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan
tentu sungguh Sedianya Allah Ta’ala dan tidak terima Huduth (baharu atau
berpermulaan). Pengakuan didalam hati dengan tentu sungguh Allah Ta’ala
bersifat Sedia itulah dinamakan dai wajib pada ‘aqal, dan pengakuan didalam
hati dengan tentu tidak baharu itulah dimanakan dia mustahil pada ‘aqal.
3. Sifat BAQA’: Kekal
Allah s.w.t
wajib mempunyai sifat Baqa’,ertinya kekal ataupun tidak berkesudahan, wujud
Allah kekal untuk selama-lamanya, tidak ada batasan waktu ataupun masa. Orang
yang beriman kepada Allah menyakini bahawa yang menciptakannya itu kekal tanpa
berkesudahan, begitu juga harus dipercayai oleh setiap insan bahawasanya
kehidupan makhluk akan berakhir dengan kebinasaan dan kehancuran, dan akan ia
kembali kepada Allah s.w.t. Yang Maha Kekal.
Dengan
mempercayai akan Allah mempunyai sifat Baqa’, ianya akan menguatkan keyakinan
tentang adanya kehidupan di akhirat, sebagai meneruskan kehidupan di atas dunia
yang fana’ ini. Kerana masih ada Pencipta Yang Maha Baqa’ yang mengaturkan
tentang kehidupan di akhirat kelak.
Wajib pada
syara’ atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu
sungguh Allah Ta’ala Kekal dan tidak menerima Fana’ (binasa). Pengakuan didalam
hati dengan tentu sungguh Allah Ta’ala bersifat Baqa’ itulah dikatakan wajib
pada ‘aqal, dan pengakuan tentu didalam hati akan binasa Allah Ta’ala itu
mustahil pada ‘aqal.
4. Sifat
MUKHALAFATUHU LILHAWADITH: Berlainan dengan sekali makhluk
Allah s.w.t.
bersifat Mukhalafatuhu Lilhawadith, ertinya Allah berlainan dengan sekalian
makhluk. Sudah tentu mustahil bagi Allah menyerupai akan sesuatu. Sebab Allah
tidak sama dengan bentuk makhluk ciptaan-Nya, baik makhluk yang bernyawa
ataupun tidak bernyawa. Berbeza Zat Allah dengan makhluk ertinya Zat-Nya tidak
sama dengan makhluk. Berbezanya sifat-safit Allah dengan makhluk ciptaan-Nya
maksudnya, sifat-sifat Allah tidak sama dengan makhluk.
Perbezaan Zat
Allah dengan sesuatu yang baharu maksudnya bahawa Zat Allah tidak sama dengan
benda lain yang diciptakan-Nya, yang memiliki zat yang baharu. Berbeza sifat
Allah dengan sesuatu yang baharu juga tidak sama dengan sifat segala benda
selain Allah. Begitu juga dengan perbuatan Allah, tidak sama dengan perbuatan
baharu atau segala benda yang ada di alam ini.
Jika kita bayangkan
Allah itu dengan sesuatu benda yang ada di alam ini bererti kita telah
mempersekutukan Allah dengan yang lain, syirik hukumnya. Oleh sebab itu,
berhati-hatilah dalam menghayati sifat-sifat yang wajib bagi Allah ini, jangan
sampai pemikiran dan minda kita dipimpin oleh syaithan, sehingga sampai pada
peringkat mempersekutukan Allah. Na’zubillah.
Wajib pada syara’ diatas tiap-tiap mukalaf
mengetahui serta i’tiqad dan mengaku putus didalam hati akan tentu sungguh
bersalahan Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan tiada menyamai-Nya
(Mumathalatuhu Lilhawadith). Firman Allah Ta’ala:
“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan
Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura, 11)
Dan bersalahan Allah Ta’ala bagi segala
yang baharu dan juga tidak menyamai-Nya itulah dikatankan sifat Mukhalafatuhu
Ta’ala Lilhawadith dan makna bersalahan itu tiga perkara:
1) Bersalahan pada zat dengan makna Zat Allah
Ta’ala bukannya Jirim yang bertempat walaupun dimana tempat an makhluk itu
semuanya jirim yang bertempat. Kalau bergitu tidak boleh dikatakan Allah Ta’ala
itu bertempat dimana-mana tempat, maka jika didapati didalam Al-Quran atau
Hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat
itu ayat Mutashabihat dan Hadith Mutashabihat.
2) Dan bersalahan sifa itu ialah sifat-sifat
Allah itu bukan ‘Aradh yang bertangkap pada jirim dan bertempat bersama dengan
jirim. Kalau bergitu. Tidak bolehlah dikatakan Allah Ta’ala berhajat
dimana-mana hajat dan sebagainya daripada sifat-sifat yang baharu. Dan
bersalahan pada perbuatan itu ialah perbuatan Allah Ta’ala, bukan seperti
perbuatan yang baharu. Kerana perbuatan Allah Ta’ala menjadikan yang tiada itu
ada, dan bukan pula perbuatan Allah Ta’ala itu daripada yang baharu.
3) Dan dalil
bersalahan Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan tidak menyamai itu ialah
kita fikir, jikalau Allah Ta’ala tidak bersalahan bagi segala yang baharu,
nescaya adalah Ia menyamai dengan sesuatu yang baharu ini, maka jika menyamai
dengan yang baharu tentulah Ianya baru seperti itu juga dan iaitu bathal kerana
telah terdahulu bersifat Qadim dengan dalil-dalil yang nyata maka tetaplah
Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan tidak menyamainya itulah pengakuan
yang sebenar.
5. Sifat QIYAMUHU BINAFSIHI: Berdiri
dengan sendiriNya.
Qiyamuhu
Binafsihi maksudnya berdiri dengan sendiriNya, bahawa Allah bersifat berdiri
dengan sendiri bukan bergantung dengan selain dari-Nya. Allah tidak bergantung
terhadap yang diciptakan-Nya, sebaliknya sesuatu yang diciptakan-Nya itu setiap
saat selalau berhajat kepada Allah s.w.t.
Allat s.w.t.
tidak berhajat dan berkehendak terhadap sesuatu yang lain, tidak memerlukan
bantuan kepada makhluk-makhluk-Nya. Allah bersifat Qiyamuhu Binafsihi, mustahil
jika Allah berhajat dan meminta pertolongan dengan alam yang akan binasa.
Allah Maha
Berkuasa memiliki segala apa yang ada dilangit dan bumi. Kemudian tidak sukar
bagi Allah untuk mengurusi segala sesuatu yang ada di alam ini. Dia Maha
Perkasa tidak pula Ia memerlukan bantuan dalam mengurusi segala ciptaan-Nya
yang banyak itu.
Wajib pada
atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu sungguh
berdirinya Allah Ta’ala dengan sendirinya (Qiyamuhu Binafsihi), dan tidak
berkehendak kepada yang menjadi dan tidak berkehendak kepada zat (Muhtajun Ila
Ghairih).
6. Sifat WAHDANIYAH: Allah Maha Esa
(Ke-Esa-an)
Wahdaniyah
ertinya Allah Maha Esa, tidak berbilang-bilang jumlahnya. Esa Allah Ta’ala itu
ialah pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Af’al-Nya. Allah itu Esa, maka janganlah
sekali-kali kita membayangkan atau memikirkan bahawa ada tuhan yang lain selain
daripada Allah. Beriman kepada ke-Esa-an Allah, memudahkan bagi kita untuk
beribadah dan berharap kepada Yang Satu.
Di samping
kita percaya bahawa Zat Allah s.w.t. itu Esa, kita juga harus yakini bahawa
sifat-sifat Allah itu mempunyai nilai yang tidak mengenal batas. Jika dikatakan
Allah itu Maha Pemurah, maka pemurahnya Allah itu tidak mengenal batas. Jika
Allah itu bersifat Maha Pengampun, maka ampunan Allah itu tidak mengenal batas.
Walau betapa besar dosa dan kesalah nseseorang itu, jika Allah menghendaki
keampunan-Nya, maka dosa-dosa orang tersebut akan diampuni Allah s.w.t.
Dan makna Esa
pada Zat Allah itu ialah Zat Allah yang tidak bersusun daripada beberapa Zat
yang boleh dibilangkan dengan sekurang-kurangnya bilangan dengan baharu, boleh
dikerat, dibelah dan dipotong seperti bagi zat yang baharu.
Kam-mutashil
|
Zat
|
Berbilangan yang berhubungan dengan Zat Allah Ta’ala
|
|
Sifat
|
Berbilangan yang berhubungan dengan Sifat Allah Ta’ala
|
|
Perbuatan
|
Berbilangan yang berhubungan dengan Perbuatan Allah
Ta’ala
|
|
|
|
Kam-munfashil
|
Zat
|
Bilangan yang berasing-asing pada Zat Allah Ta’ala
|
|
Sifat
|
Bilangan yang berasing-asing pada Sifat Allah Ta’ala
|
|
Perbuatan
|
Bilangan yang berasing-asing pada Perbuatan Allah
Ta’ala
|
Wajib pada atas tiap-tiap mukalaf
mengetahui serta mengaku putus dalam hatinya akan tentu sungguh Allah Ta’ala
itu Esa pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Af’al-Nya. Dan tidak Ta’addud
(berbilang-bilangan).
7. Sifat QUDRAT: Allah Maha Kuasa
(Pekuasa)
Qudrat ertinya Allah Maha Berkuasa
keatas segala sesuatu. Hanya Allah yang berkuasa, sedangkan selain Allah
sebenarnya tidak mempunyai kekuatan dan kekuasaan. Kekuasaan Allah mutlak
milik-Nya. Kekuasaan Allah itu bukan datangnya kemudian, tetapi sudah ada
semenjak zaman Azali lagi, iaitu sebelum adanya sesuatu selain daripada Alah
s.w.t.
Allah s.w.t.
menjadikan segala sesuatu yang dikehendaki-Nya. Firman Allah s.w.t.:
“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia
menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah”, maka jadilah ia.” (Yassin: 82)
Pada sifat Qudrat, Allah Ta’ala Maha Kuasa
mengadakan dan meniadakan sesuatu mumkin, dan bagi Qudrat itu beberapa takluq
(menuntut sifat akan satu pekerjaan lain daripada menuntut di Zat-Nya), iaini
beberapa tugas.
Wajib pada syara’
diatas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan tentu
sungguh ada Tuhan Pekuasa, iaitu Allah Maha Kuasa, dan tidak sekali-kali ‘Ajzun
(lemah).
8. Sifat IRADAT: Berkehendak
Allah s.w.r.
mempunyai sifat Iradat, iaitu berkehendak, maksudnya bahawa Allah s.w.t. dalam
menciptakan segala sesuatu berpedoman kepada kehendak-Nya. Begitulah alam
semesta ini terjadi, kerana Kudrat dan Iradat Allah, diatas Kekuasaan dan
Kehendak Allah s.w.t. dan tidak ada batasannya dan tidak dapat dilukiskan
melalui fikiran manusia tentang keinginan Allah.
Dan Iradat itu
ialah satu sifat yang sedia kala pada Zat Allah. Dengan sifat Iradat, Allah
Ta’ala mengkehendaki dan menentukan mumkin dengan setengah-setengah barang yang
harus atas mumkin.
Wajib pada
syara; atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh
didalam hatinya ada Allah Ta’ala itu bersifat Iradat, dan tidak menerima
Karahah (terpaksa).
9. Sifat ILMU: Allah Maha
Mengetahui
Allah bersifat
ilmu, ertinya bahawa Allah Maha Mengetaui. Allah memiliki pengetahuan dan
mengetahui akan segala sesuatu, yang sudah berlaku, yang sedang berlaku dan
yang akan berlaku, baik di langit, dibumi mahupun yang diantaranya, dan segala
sesuatu yang diciptakan-Nya.
Dan Ilmu itu
ialah sifat yang ada ia di Zat Allah Ta’ala, yang nyata segala perkara yang
wajib dan yang mustahil dan yang harus itu dengan Ilmu yakni dengan pengetahuan
tidak jahil. Dan makna mengetahui akan segala perkara yang wajib itu mengetahui
dengan sungguhnya dan mengetahuisegala yang mustahil itu mengetahui dengan
tidaknya, dan mengetahui perkara yang harus itu mengetahui akan ada atau tiada
atau akan tiadanya.
Wajib atas
syara’ atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu
sungguh ada di Zat Allah Ta’ala itu Ilmu, dan tidak menerima akan Allah itu
Jahlun (jahil).
10. Sifat HAYAT: Hidup
Allah s.w.t.
wajib mempunyai sifat Hayat iaitu hidup, dan mustahil bagi-Nya mempunyai sifat
binasa yang sama dengan makhluk. Sifat hidup Allah ini tidak sama sebagaimana
dengan kehidupan alam, seperti manusia, malaikat haiwan dan makhluk-makhluk
yang lainnya. Allah hidup tidak berhajat terhadap sesuatu, seperti pada makhluk
yang menghajatkan dan memerlukan nyawa, nafas, makan dan minum. Kehidupan
makhluk merupakan hasil daripada pemberian Allah, maka pada saat yang
dikehendaki-Nya, kehidupan makhluk itu dapat berakhir.
Wajib diatas
tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh didalam hatinya
Allah mempunyai sifat Hayat, satu sifat yang ada pada Zat Allah dan dengan
sifat Hayat ini Allah Ta’ala hidup, dan tidak akan menerima akan Maut.
11. Sifat SAMA’: Allah Maha
Mendengar
Sama’ ertinya
Mendengar dan Allah bersifat Sama’ bahawa Allah Maha Mendengar segala sesuatu
yang diperkatakan oleh makhluk-makhluk-Nya. Allah Maha Mendengar baik yang kuat
mahupun perkara yang dibisikkan oleh makhluk-Nya. Walaupun begitu pendengaran
yang ada pada Allah tidak berhajat pada sesuatu yang ada pada makhluk-Nya.
Wajib pada
syara’ atas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh
pada hatinya akan sifat Sama’ ini yang ada pada Allah Ta’ala, dan tidak
sekali-kali Allah menerima sifat Shomam (tuli).
12. Sifat BASYAR: Allah Maha Melihat
Allah bersifat Basyar ertinya bahawa Allah Maha Melihat apa sahaja
yang ada di alam ini. Allah dapat melihat segala gerak geri makhluk-Nya. Namun
Penglihatan Allah itu tidaklah sama dengan penglihatan makhluk ciptaan-Nya.
Allah tidak berhajat seperti makhluk-Nya untuk melihat.
Wajib pada
syara’ atas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan
tentu sungguh ada pada Allah Ta’ala itu sifat Basyar, dan iaitu satu sifat yang
ada di Zat Allah. Tidak Allah sekali-kali menerima akan sifat ‘Umyun (buta).
13. Sifat KALAM: Allah Berkata-kata
Allah
mempunyai sifat Kalam atau berkata-kata, dan mustahil bagi Allah Yang Maha
Agung itu bersifat berlawanan dengan sifat Kalam. Walaubagaimanapun Kalam Allah
tidak seperti yang dihajatkan oleh makhluk-Nya. Kalam Allah itu dinamakan Wahyu
yang diberikan kepada makhluk-Nya sebagai mendatangkan kebenaran-Nya.
Wajib diatas
tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh pada hatinya
akan Allah mempunyai sifat Kalam. Iaitu satu sifat yang sedia kala di Zat
AllahTa’ala. Dengan adanya sifat inilah Allah tidak akan sekali-kali menerima
sifat Bukmun (bisu)
14. Sifat KAUNUHU QADIRAN: Allah
tetap selalau dalam keadaan Berkuasa
15. Sifat KAUNUHU MURIDAN: Allah
tetap dalam keadaan Menghendaki
16. Sifat KAUNUHU ALIMAN: Allah
tetap dalam keadaan Mengetahui
17. Sifat KAUNUHU HAYYAN: Allah
tetap dalam keadaan Hidup
18. Sifat KAUNUHU SAMI’AN: Allah
tetap dalam keadaan Mendengar
19. Sifat KAUNUHU BASIRAN: Allah
tetap dalam keadaan Melihat
20. Sifat KAUNUHU MUTAKALLIMAN:
Allah tetap dalam keadaan Berkata-kata
Rumusan daripada: Al-Misbahul Munir
Abdul Aziz Bin Ismail
Al-Fatani
|
Imam Halim mengajar Kitab Usuluddin Sirajul Huda
pada setiap Selasa minggu ke-3 dan ke-4
Kuliah Maghrib di Surau al-Faaizeen |
No comments:
Post a Comment