ALHAMDULILLAH PEMBINAAN SURAU BARU AL-FAAIZEEN TELAH SIAP DAN MULA DIGUNAKAN BERMULA 5/3/2013.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TELAH MENYUMBANG JARIAH SEMOGA ALLAH YANG AKAN MEMBALASNYA DENGAN GANJARAN PAHALA.
********************************************************************************

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Sunday, May 30, 2010

Kerja Dakwah Tanggungjawab Semua

Dakwah ertinya mengajak, menyeru, menyampaikan nasihat kepada manusia supaya taat kepada Allah, menyeru kepada kebenaran, kebaikan dan meninggalkan larangan ataupun tegahan-tegahan Allah. Dakwah kepada orang-orang Islam atau kepada orang bukan Islam agar memahami hakikat sebenarnya ajaran agama Islam dan seterusnya menerima Islam menjadi cara hidup adalah menjadi tanggungjawab setiap mukallaf.

Khalifah pertama, Nabi Adam Alaihi Wassalam adalah seorang daie ataupun seorang pendakwah, seorang rasul yang menyampaikan dan mengajak anak cucunya supaya hidup di muka bumi ini berpegangkan kepada syariat Allah. Seterusnya perjalanan dakwah ini terus berjalan hingga ke Nabi Muhammad s.a.w.kemudian tugas ini disambung oleh ulamak dan pencinta agama Allah hinga akhir zaman. Maka perintah dakwah ini hendaklah diteruskan. Cuma cara dan bentuk strategi hendaklah mengikut masyarakat dan zaman di mana masyarakat itu hidup dan berkembang sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 165:

MaksudNya: “(Kami telah mengutus mereka) sebagai rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya tiada alasan bagi manusia mambantah Allah sesudah (diutuskan) rasul-rasul itu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Hal ini telah tercatat di dalam Al-Quran dan hadis Nabi yang menjelaskan bagaimana dakwah ini perlu dijalankan bagi mencapai kejayaan dan memberi kesan yang berterusan. Maka kita samaada suka ataupun tidak telah diletakkan tanggungjawab dakwah ini. Maka laksanakanlah sedaya upaya yang ada, tidak kira umat suka atau tidak, tidak boleh dijalankan secara bermusim atau terikat kepada bulan-bulan tertentu sahaja, atau bersempena dengan hari – hari kebesaran Islam tertentu sahaja, di tempat-tempat tertentu sahaja atau kepada orang-orang tertentu sahaja. Allah berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 104:

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung.

Maka peranan berdakwah bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada orang tertentu sahaja, bahkan ia merupakan tanggungjawab bagi setiap individu Muslim pada semua peringkat masyarakat. Seorang ibu berkewajipan mendidik dan menanam benih keimanan kepada anaknya bermula dari kelahiran sehingga dewasa, bapa demikian juga, imam,ketua suatu kumpulan orang atau masyarakat, pemimpin dalam apa-apa persatuan atau negara turut berdakwah. Mereka berkewajipan menyampaikan, memimpin dan memberitahu orang-orang bawahannya,pekerjanya, atau rakyatnya supaya taat kepada Allah, melakukan perintah -perintah Allah dan meninggalkan larangannya.

Justeru itu, inilah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah S.A.W kepada semua hambanya dari zaman nabi sehinggalah sekarang supaya sentiasa menyeru kepada yang ma’ruf dan menghindari segala yang munkar.

Al-Quran dan As-Sunnah hendaklah sentiasa menjadi pegangan bagi setiap pendakwah untuk memastikan dakwahnya sentiasa berkesan terhadap masyarakat. Dengan kemajuan dan kemodenan yang dikecapi oleh umat Islam pada zaman sekarang seperti media cetak dan elektronik, ianya bukan lagi alasan bagi mereka untuk lari dari tanggungjawab yang telah diamanatkan oleh Allah S.W.T. Sepertimana yang telah diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabdanya:

Maksudnya: “Daripada Abu Sa’id al-Khudrie r.a beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Barangsiapa dikalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu aka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Hadis ini menunjukkan bahawa kerja atau tanggungjawab berdakwah adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Sehingga Baginda memberikan keringanan kepada umatnya untuk berdakwah mengikut kemampuan mereka. Begitulah Baginda begitu bersungguh-sungguh untuk menggalakkan umat Islam supaya menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada kemungkaran.

Dakwah melalui televisyen, radio dan internet juga adalah menjadi trend masyarakat Islam pada zaman sekarang terutamanya pendakwah. Terdapat banyak laman web dan blog berunsurkan Islam yang dicipta untuk memudahkan lagi kerja-kerja dakwah dan ajaran Islam dapat disebarkan dengan pantas dan tepat. Bahkan melalui pendekatan inilah dakwah Islamiah dapat tersebar luas ke serata dunia dengan menggunakan hujung jari sahaja. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa kerja dakwah tidak pernah ada penghujungnya. Ianya akan berterusan mengikut peredaran zaman dan perubahan pemikiran manusia.

Sebagai seorang pendakwah yang hidup di zaman yang serba moden, pemikiran yang kreatif dan kritis diperlukan untuk memastikan aktiviti dakwah yang dilakukan mencapai kejayaan yang diharapkan. Seorang pendakwah juga hendaklah sentiasa memandang ke hadapan supaya mereka tidak akan ketinggalan dalam dunia yang serba canggih ini. Tetapi, seseorang pendakwah juga tidak boleh membelakangkan pendekatan dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W pada zaman kepimpinannya yang memberi kesan yang amat mendalam dan positif terhadap umat terdahulu. Ianya hendaklah menjadi panduan kepada seorang pendakwah supaya kerja dakwahnya berjaya dari segi duniawi dan ukhrawi disamping pendekatan-pendekatan moden yang terdapat pada zaman sekarang.

Oleh itu, untuk memastikan kerja-kerja dakwah tidak terhenti begitu sahaja, ianya bukan sahaja tanggungjawab orang yang berkaitan dengan dunia dakwah sahaja, bahkan ianya menjadi tanggungjawab setiap umat Islam di muka bumi ini tidak kira tua atau muda untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Sesunggguhnya kerja-kerja berdakwah tidak ada penghujungnya bahkan ianya akan berterusan untuk generasi yang akan datang.

Sesungguhnya “SETIAP HARI ADALAH DAKWAH”

Rujukan: blog dakwah.org


No comments:

Post a Comment