ALHAMDULILLAH PEMBINAAN SURAU BARU AL-FAAIZEEN TELAH SIAP DAN MULA DIGUNAKAN BERMULA 5/3/2013.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TELAH MENYUMBANG JARIAH SEMOGA ALLAH YANG AKAN MEMBALASNYA DENGAN GANJARAN PAHALA.
********************************************************************************

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Friday, February 26, 2010

12 Rabiul Awal


Hari ini bertarikh 12 Rabiul Awal adalah sebuah tarikh yang istimewa iaitu hari keputeraan junjungan besar Rasulullah SAW. Rasulullah dilahirkan pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April tahun 471 Masihi. Kalau kita congakkan mengikut tahun masihi, tahun ini adalah ulangtahun keputeraan Baginda yang ke 1,539 tahun.

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”.
(Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Biarlah 12 Rabiul Awal kali ini meninggalkan kesan dalam jiwa. Kita muhasabah diri sejauh manakah kita sudah menghayati sunnah Rasulullah dan mengikuti syariat Agama? Marilah kita tanamkan tekad untuk menjadi seorang muslim yang ada kualiti. Bukan muslim yang ibarat buih, terumbang ambing tanpa hala tuju. Kerana kita ini umat Rasulullah SAW iaitu umat yang terpilih umat yang penuh kemuliaan. Tongkatlah langit dengan tiang agama dan laburkan segala harta untuk saham akhirat. Hidup kita untuk akhirat, insyaAllah. Cemerlang di dunia demi kebahagiaan hakiki di Akhirat, destinasi di hujung perjalanan ini.

@@@

Sunday, February 21, 2010

Ibadah Wakaf








DEFINISI WAKAF :
  • Wakaf dari segi bahasa : tahan atau berhenti
  • Wakaf dari segi istilah : menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya.
  • Wakaf ialah menahan harta tertentu yang boleh diambil manfaat daripada zatnya untuk digunakan pada tujuan kebajikan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan tidak boleh dijadikan jual-beli atau "hibah" pada zat benda yang diwakafkan itu.

HUKUM WAKAF

Hukum wakaf adalah HARUS dalam syariat Islam dan ia adalah amalan yang digalakkan dengan berdasarkan nas al-Quran dan hadis.

DALIL AL-QURAN

Firman Allah S.W.T dalam surah ali-imran ayat 92:

Maksudnya: kamu tidak sekali-kali akan mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

DALIL HADIS

1) Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

Maksudnya : Apabila mati seseorang itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang termanfaat dan anak yang soleh mendoakan untuknya.

2) Diberitakan dari Ibnu Umar bahawa Umar mendapat bahagian sebidang tanah di Khaibar. Beliau berkata, "wahai Rasullullah. Saya mendapat sebidang tanah di Khaibar sedangkan saya belum pernah mendapat yang lebih berharga daripada itu. Apa yang sebaiknya saya lakukan?" Rasullullah S.A.W menjawab, "Bila kamu mahu, sedekahkanlah." Lalu Umar menyedekahkan tanah itu dengan syarat tidak boleh dijual, dihibahkan dan diwariskan. Tanah itu harus digunakan untuk digunakan kaum miskin, karib kerahat, para hamba sahaya, orang-orang lemah, dan ibnu sabil. Pengelola tanah mengikut sekadarnya" (Hadis Riwayat Jamaah)

RUKUN WAKAF
  1. Orang yang mewakafkan.
  2. Pihak yang menerima wakaf
  3. Benda yang diwakafkan.
  4. "Sighah" iaitu ijab dan qabul.
SYARAT ORANG YANG MEWAKAFKAN

Pewakaf adalah :

  1. Beragama Islam
  2. Cukup umur (akil baligh)
  3. Waras (sempurna akal fikiran)
  4. Ahli tasarruf / tabaruk
  5. Pilihan sendiri (ikhtiari)
  6. Merdeka
SYARAT HARTA YANG DIWAKAFKAN
  1. Harta itu mestilah benda yang dapat di ambil manfaatnya.
  2. Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud waktu itu.
  3. Harta yang diwakafkan itu memberi faedah yang berpanjangan.
  4. Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak.
  5. Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlah.
  6. Milik sempurna orang yang memberi wakaf.
SYARAT-SYARAT LAFAZ WAKAF
  1. Hendaklah dilafazkan bagi orang yang bertutur.
  2. Hendaklah diganti dengan tulisan atau isyarat bagi orang yang tidak boleh bertutur.
  3. Lafaz wakaf mestilah difahami oleh penerima wakaf atau saksi.
  4. Lafaz wakaf mestilah jelas dari segi jenis wakaf, luas, tempat, bentuk dan jumlah.
JENIS WAKAF
  1. Wakaf Mutlak (AM) - Seseorang yang mewakafkan sesuatu harta untuk maslahah umum.
  2. Wakaf Muqayyad (Khas) - Wakaf yang mempunyai syarat tertentu terhadap harta wakafnya selagimana tujuannya tidak menyalahi syarak.
HIKMAH WAKAF
  1. Membuka jalan ke arah ibadah kepada Allah s.w.t.
  2. Merealisasikan minat orang beriman yang suka memberi wakaf dan berlumba-lumba dalam amal kebajikan dan mengharapkan pahala.
  3. Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf selepas kematian selagimana harta wakaf tersebut berkekalan.
  4. Untuk kebaikan Islam, seperti membina masjid, surau, tanah perkuburan dan sebagainya.
  5. Membantu mengurangkan bebanan orang fakir dan miskin serta anak yatim.
Rujukan: http://www.maik.gov.my/Info%20Wakaf.htm

@@@

Thursday, February 18, 2010

Masjid Quba

Tahukah anda Masjid Quba di pinggiran kota Madinah adalah masjid yg pertama didirikan dalam Islam? Saya paparkan petikan artikel dari http://www.hupelita.com/ untuk memberi sedikit latar belakang masjid istimewa ini.

Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW setelah berhijrah dari Makkah ke Madinah. Di masjid inilah Rasulullah dan para sahabat solat berjamaah secara terbuka. Masjid ini mengambil nama lokasinya iaitu sebuah kampung bernama Quba. Jaraknya sekitar 4 kilometer di sebelah selatan Masjid Nabawi. Rasulullah menganjurkan kepada umat muslim agar berziarah dan sholat di Masjid Quba, mengingat pahalanya sama dengan menunaikan ibadah umrah.

Pada masa Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, Masjid Quba dibaiki dan dilengkapi dengan bangunan menara untuk azan. Masjid dihiasi dengan ukiran. Setiap berganti kepemimpinan, Masjid Quba selalu direnovasi hingga pada masa Sultan Mahmud II (1245 H) sampai putranya Sultan Abdul Majid. Pengubahsuaian besar-besaran terjadi pada masa pemerintahan Raja Faisal bin Abdul Aziz pada 1388 H, sehingga Masjid Quba menjadi sebuah masjid yang moden.
Raja Fahd bin Abdul Aziz pada 1405 H memperluaskan lagi binaan ruang masjid hingga kini memiliki 56 kubah kecil dan enam kubah besar, dengan empat menara azan. Bahagian tengahnya yang terbuka ditutup dengan lapisan bumbung yang boleh bergerak secara elektrik. Masjid Quba boleh menampung sehingga 20,000 jamaah pada sesuatu masa.
@@@

Saturday, February 13, 2010

Masjid2 Di Malaysia

Miri, Sarawak

Asy Syakirin, KLCC

Selat Melaka

Kapitan Keling, Penang

Berseri, Perlis

Besut, Terengganu

Alor Star

Baling, Kedah

Sri Iskandar, Perak

Meru Klang

Muar, Johor

Kuala Terengganu

Kubang Kerian

Kg Lenggeng, N9

Kota Kinabalu

Bachok, Kelantan

Pekan, Pahang


Jawatankuasa Teknikal bertanggungjawab untuk merekabentuk plan bangunan dan pasarana masjid dengan mengambilkira input dari ahli khariah sekelian. Kapasiti jemaah dan keluaasan tanah juga adalah faktor utama. Memandangkan permukaan tanah yang berbukit maka bangunan dua tingkat dirasakan lebih sesuai dan ekonomikal. Berikut dipaparkan pelbagai Masjid yang kedapatan di negara kita yang tercinta. Ianya mungkin dapat memberi idea kepada kita tentang rekabentuk yang sesuai.

@@@

Thursday, February 11, 2010

Kelulusan Dari JAIS


Alhamdulillah pihak JAIS telah memberi kelulusan untuk pembinaan sebuah masjid di Prima Beruntung. Kita doakan semoga segala perancangan dapat berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan. Kami ahli jawatankuasa pembinaan Masjid Bukit Beruntung memohon sokongan dari Muslimin dan Muslimat sekelian dalam bentuk amal jariah, buah fikiran dan tenaga bagi mendirikan Rumah Allah ini, insyaAllah. Pihak Bendahari sedang dalam usaha untuk membuka akaun bank. Sementara itu segala sumbangan kewangan bolehlah disalurkan kepada Bendahari di talian 012-2077145. Jazakallah.
@@@