ALHAMDULILLAH PEMBINAAN SURAU BARU AL-FAAIZEEN TELAH SIAP DAN MULA DIGUNAKAN BERMULA 5/3/2013.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TELAH MENYUMBANG JARIAH SEMOGA ALLAH YANG AKAN MEMBALASNYA DENGAN GANJARAN PAHALA.
********************************************************************************

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Tuesday, March 9, 2010

Kertas Kerja Pembinaan Masjid Prima Beruntung

KERTAS KERJA CADANGAN
PEMBINAAN MASJID PRIMA BERUNTUNG
DI LOT 20129 & 20165,
PRIMA BERUNTUNG, SEKSYEN 20, BANDAR SERENDAH,
DAERAH HULU SELANGOR,
SELANGOR DARUL EHSAN

Pemaju/Pengurus Projek
Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung
16 Jalan Anggerik 2D/2
Prima Beruntung, 48300 Rawang
Selangor Darul Ehsan
Tel : +603 60 2121 88 Fax :+603 60 2161 88
Email address : masjid.pb@gmail.com


1.0 PENDAHULUAN

Masjid merupakan satu institusi utama agama Islam yang selain daripada merupakan sebagai tempat beribadat secara berjemaah penduduk setempat, ianya juga mempunyai pelbagai fungsi lain yang boleh melahir sebuah masyarakat yang berjiwa murni dan berakhlak mulia. Prima Beruntung yang kedudukannya diseberang Lebuhraya Utara Selatan agak terpisah dari komuniti setempat Bukit Beruntung/Bukit Sentosa.

Prima Beruntung ini merangkumi Fasa Anggerik & Mawar serta komuniti orang asli mempunyai lebih kurang 1,000 orang penduduk. Selain itu kemudahan prasarana baru seperti jalan dari Sungai Buaya/Batang Berjuntai ke Prima Beruntung bakal menjadi pemangkin didalam menjadikannya sebagai “Growth Centre” di Hulu Selangor ini.

Kepesatan pembangunan serta penambahan penduduk di kawasan Bukit Beruntung yang terletak didalam kawasan Koridor Automotif Negara telah menyebabkan penambahan yang ketara bilangan jemaah terutamanya pada hari Jumaat. Masjid-masjid yang sedia ada dilihat tidak mampu lagi untuk menampung penambahan bilangan penduduk/jemaah ini. Pembukaan kilang Tan Chong/Nissan yang mempunyai kapasiti pekerja hingga 5,000 orang pekerja bakal menambahkan masalah ini.

Menyedari masalah yang bakal timbul sekiranya tidak ada usaha-usaha konkrit untuk menyelesaikan masalah ini maka cadangan pembinaan Masjid Prima Beruntung ini adalah tepat pada waktunya.



2.0 OBJEKTIF

Objektif utama kertas cadangan ini adalah untuk memohon kebenaran merancang untuk mendirikan sebuah masjid di sebuah kawasan seluas 3.5 ekar yang telah digazetkan untuk pembinaan sebuah masjid oleh pihak pemaju taman perumahan ini iaitu Europlus Corporation Sdn Bhd. Pihak Europlus pada dasarnya telah bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut kepada pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung melalui suratnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung, Ybhg Dato Hj Yusof bin Hj Saidin yang bertarikh 23hb May 2006 – rujukan surat tersebut 14(PI)/EC/SPM-JPMPB/2006- 012. (Sila rujuk Appendix A1).


3.0 LATARBELAKANG

Kedudukan Prima Beruntung yang tersendiri lebih kurang 5 km daripada Masjid Bukit Sentosa mewajarkan sebuah Masjid didirikan bagi kemudahan penduduk setempat. Dengan jumlah keseluruhan unit rumah yang telah disiapkan di kedua-dua Fasa Anggerik & Mawar Prima Beruntung ini melebihi 1,000 unit, keperluan kepada sebuah Masjid untuk kegunaan komuniti tempatan adalah satu yang amat mendesak. Selain daripada Fasa Anggerik & Mawar serta perkampungan orang asli Prima Beruntung juga juga berdekatan dengan Taman Perumahan Adenieum serta kawasan Perindustrian yang bakal menjadikan Masjid ini tumpuan utama penduduk/perkerja dikawasan yang disebutkan tadi.

Buat masa ini tidak ada sebuah pun tempat ibadat samada surau mahu pun masjid didirikan di sini. Walau bagaimana pun pihak penduduk telah mengambil inisiatif sendiri dengan menguna kan dua buah rumah kosong sebagai surau dengan kebenaran pemilik masing-masing. Pihak penduduk Prima Beruntung sedia maklum tentang terdapat 2 lot tanah di Prima Beruntung ini yang telah diperuntukan untuk pembinaan surau dan Masjid dikawasan ini. Penduduk berpendapat bahawa pembinaan Masjid adalah lebih sesuai kerana kedudukan tapak masjid berkenaan adalah ditengah-tengah diantara Fasa Anggerik dan Mawar berbanding dengan tapak cadangan surau yang teletak agak jauh di penghujung fasa Anggerik.

Dengan pembinaan Masjid yang terletak dilokasi yang strategik ini akan menguntungkan penduduk dikedua-dua Fasa Anggerik dan Mawar berbanding dengan kedudukan lokasi Surau yang hanya khusus untuk sebahagian kecil penduduk Fasa Anggerik sahaja.

Tanah sekarang ini telah pun diserahkan kepada pihak kerajaan dan telah pun digazetkan untuk pembinaan Masjid tersebut. Sehubungan dengan itu pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung telah membuat keputusan untuk mendapatkan kebenaran dari pihak Pejabat Agama Islam Selangor agar cadangan ini dapat disegerakan dan menjadi kenyataan secepat yang mungkin. (Pihak JAIS telah memberi kebenaran dalam suratnya yang bertarikh 4/12/2009, Sila rujuk Appendix A4)


4.0 LOKASI TAPAK CADANGAN MASJID

Lokasi tapak cadangan Masjid Prima Beruntung ini sebenarnya telah digazetkan oleh pihak Pemaju, Europlus Corporation Sdn Bhd sepertimana yang telah dilakarkan/dinyatakan didalam Pelan kepada Jabatan Perancang Bandar & Desa, Majlis Daerah Hulu Selangor. Pihak Majlis Daerah Hulu Selangor telah mengesahkan didalam surat mereka bertarikh 8hb Mac 2006 rujukan surat tersebut (51) dlm. MDHS.439/13 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung, Ybhg Dato Hj Yusof bin Hj Saidin bahawa lot-lot tanah tersebut iaitu lot 20129 (3.0 Ekar) dan 20165 (0.66 Ekar) telah dirizabkan sebagai tapak masjid untuk kegunaan masyarakat Islam. (Sila rujuk Appendix A2).

Lanjutan daripada itu pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung yang bermesyuarat pada 16hb November 2007 telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal yang bertanggung jawab untuk menyediakan cadangan-cadangan tertentu Projek Pembinaan Masjid Prima Beruntung. Bagi menyediakan pelan cadangan tersebut pihak Konsultant Ukur Tanah telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran serta penandaan batu sempadan bagi kedua-dua tapak tanah yang berkenaan. Kerja-kerja pengukuran tersebut telah dijalankan pada 29hb Januari 2008. (Sila rujuk Appendix A3 untuk Pelan Kerja Ukur Tanah yang dinyatakan)


5.0 KONSEP CADANGAN MASJID

Dengan adanya pelan kerja-kerja ukur tanah maka pihak Jawatankuasa Teknikal telah mengadakan beberapa siri mesyuarat/perbincangan dan akhirnya berjaya menyiapkan konsep reka bentuk Masjid Prima Beruntung mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung pada 16hb November 2007 .

Perlu dijelaskan disini bahwa Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung telah menetapkan agar Kompleks Masjid Prima Beruntung ini mempunyai 2 komponen utama iaitu :-
  1. Kompleks Masjid Utama
  2. Kompleks Asrama Maahad Tahfiz Al Quran
Masjid yang dicadangkan ini bakal dijadikan sebagai Pusat Aktiviti Sosial bagi menampung keperluan penduduk seperti:-

  1. Urusan Pengurusan Jenazah
  2. Majlis Perkahwinan
  3. Pusat Tahfiz Al Quraan lengkap dengan Asrama penginapan pelajar.

Pelan susun atur tapak dan adalah seperti yang ditunjukan didalam Appendix A3.


Maahad Tahfiz Al Quran

Pusat Maahad Tahfiz Al Quraan ini adalah pusat tahfiz sedia ada yang telah dijalankan semenjak 3 tahun yang lalu di 2 buah rumah bungalow. Sehubungan dengan itu pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung telah berbincang dengan Pengusaha Tahfiz untuk sama-sama menyertai projek pembinaan Masjid. Pihak tersebut telah memberikan respond yang positif dan bersetuju untuk membiayai sebahagian daripada kos pembinaan.

Pada amnya detail spesifikasi Masjid Prima Beruntung adalah seperti berikut :-

  1. Luas Keseluruhan Tanah 3 Ekar
  2. Luas Keseluruhan Masjid 17,137 kaki persegi
  3. Luas Tingkat Atas 7,482 kaki persegi
  4. Luas Tingkat Bawah 9,655 kaki persegi
  5. Luas Dewan Solat Utama 2977.75 kaki persegi
  6. Kapasiti Dewan Solat Utama 450 jemaah
  7. Luas Bilek Imam/Pejabat 96.7 kaki persegi
  8. Luas Bilek Pengurusan Jenazah 129 kaki persegi
  9. Bilangan Paip Wuduk 40 Nos
  10. Bilangan Tandas 20 Nos
  11. Bilangan Bilek Mandi 2 Nos
  12. Bilangan Tempat Letak Kereta 63 Nos
  13. Bilangan Tempat Letak Motor 45 Nos

Pada amnya detail spesifikasi Asrama Maahad Tahfiz Masjid Prima Beruntung adalah seperti berikut :-

  1. Luas Keseluruhan Asrama 4,902 kaki persegi
  2. Luas Tingkat Atas 2,451 kaki persegi
  3. Luas Tingkat Bawah 2,451 kaki persegi
  4. Luas Bilek Asrama 2,687.5 kaki persegi
  5. Luas Dewan Makan 537.5 kaki persegi
  6. Luas Rumah Warden 1,677 kaki persegi
  7. Kapasiti Asrama Lelaki 75 Orang
  8. Kapasiti Asrama Perempuan 75 Orang

SUMBER PEMBIAYAAN MASJID PRIMA BERUNTUNG

Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung pada 16hb November 2007 telah dimaklumkan berkenaan dengan beberapa pihak yang berminat untuk membiayai sebahagian daripada kos pembinaan Masjid Prima Beruntung. Salah satu syor yang dikemukakan oleh wakil daripada pihak penderma agar pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung memperuntukan sebahagian daripada tapak cadangan Masjid ini sebagai tapak untuk didirikan Asrama Maahad Tahfiz Masjid Prima Beruntung.

Pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Prima Beruntung dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut yang bakal menjadikan Masjid ini bukan sahaja sebagai tempat beribadat tetapi juga bakal menjadi Pusat Ilmu Al Quraan yang terkemuka di daerah Ulu Selangor ini. Pihak Jawatankuasa juga berpendapat dengan adanya pelajar-pelajar tahfiz di kawasan Masjid ini akan lebih meghidupkan Masjid ini dengan amalan-amalan yang diberkati. Pelan Susun Atur yang dikemukakan juga mengambil kira lokasi tapak cadangan Asrama Maahad Tahfiz tersebut. Selain daripada itu beberapa nama lain pihak penderma yang berpotensi untuk membiayai sebahagian kos pembinaan telah dikemukakan kepada Jawatankuasa untuk tindakan selanjutnya sekiranya cadangan pembinaan Masjid ini mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor.



7.0 SOKONGAN

Adalah menjadi harapan kami agar niat suci kami untuk mendirikan sebuah Masjid dikawasan Prima Beruntung ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak. Pembinaan Masjid ini di atas tanah yang telah digazetkan didalam pelan Perancang Majlis Daerah Hulu Selangor akan dapat mengelakkan daripada sebarang isu-isu sensitif. Dikhuatiri kegagalan mendirikan Masjid ditanah yang telah diperuntukkan akan menyebabkan pihak-pihak lain mengambil kesempatan dengan menukar status perancangan tanah tersebut diatas alasan tanah tersebut tidak dituntut atau gagal dibangunkan sebagaimana perancangan asal.

Masjid ini akan dimanafaatkan dengan pelbagai majlis ilmu yang dapat mendidik generasi muda, remaja dan kanak-kanak agar pembangunan rohani mereka seimbang dengan pembangunan fizikal. Kewujudan Masjid ini insyAllah akan dapat meningkatkan syiar Islam dikawasan ini yang menambah minat penduduk setempat untuk bersama-sama menyertai serta mengimarahkan program-program masjid.



8.0 PENUTUP

Akhir kata sama-sama lah kita berdoa kepada Allah SWT agar kita diberi kekuatan didalam usaha mendirikan Masjid ini serta dipermudahkan segala urusan baik dari segi urusan kelulusan pihak berkuasa, kewangan, pembinaan, kerjasama yang erat dari semua pihak dan lain lain lagi.

Amin Ya Rabbal Alamin.



Appendix A1 (Penyerahan Tapak Masjid - 23/5/2006)


Appendix A2 (Pengesahan Tapak oleh MDHS - 8/3/2006)



Appendix A3 (Plan Tapak Masjid)




Appendix A4 - Surat Kebenaran Pembinaan Masjid Prima Beruntung Dari JAIS (4/12/2009)

4 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat

    ReplyDelete
  2. Segala usaha murni ini akan dipermudahkan in sya Allah amin..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, kami Ajk pembinaan majid Tmn Klbg. Putra Chemor mengucapkan selamat berjaya.

    ReplyDelete
  4. Izinkan saya untuk ambil contoh kertas kerja ini tuan untuk dijadikan panduan. terima kasih

    ReplyDelete