ALHAMDULILLAH PEMBINAAN SURAU BARU AL-FAAIZEEN TELAH SIAP DAN MULA DIGUNAKAN BERMULA 5/3/2013.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TELAH MENYUMBANG JARIAH SEMOGA ALLAH YANG AKAN MEMBALASNYA DENGAN GANJARAN PAHALA.
********************************************************************************

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Solat Jumaat di Surau Al-Faaizeen

Sunday, October 13, 2013

Persediaan Sambutan Aidil Adha dan Ibadah Korban

Bergambar Kenangan 
Di Serambi Bangunan Serbaguna Al-Faaizeen


Pagi tadi berlangsung satu majlis gotong royong di Surau Al-Faaizeen sebagai persediaan sambutan Hari Raya Aidil Adha dan Ibadah Korban. Seramai lebih kurang 50 orang ahli khariah telah menghadirkan diri untuk menjayakan program gotong royong ini yang bermula seawal 8:30 pagi. Antara agenda utama ialah membersihkan bangunan serbaguna yang baru siap bersebelahan bangunan surau. Pasarana bahagian dapur juga disediakan untuk kegunaan persediaan jamuan daging korban dan aidil adha nanti.

Pihak AJK surau juga telah mengedarkan satu surat pekeliling bertarikh 12/10/13 kepada seluruh ahli khariah surau al-Faaizeen melalui wakil jalan dan blok bangunan masing-masing. Dinyatakan ucapan salam aidil adha kepada ahli khariah dan keluarga, semoga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah. Sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha ini, Urusetia Program Korban Al-Faaizeen 1434H telah bersetuju dalam mesyuaratnya pada 10/10/13 untuk mengagihkan daging korban kepada setiap keluarga Islam di dalam kariah ini. Bersama-sama surat itu disertakan kupon agihan daging korban berkenaan. Para ahli khariah bolehlah mengemukakan kupon ini kepada Urusetia Program Korban 1434H untuk mendapatkan daging korban.

Program Hari Raya Aidil Adha adalah seperti berikut:

1) Takbir Malam Raya 

  • 8:30 mlm - Lepas Solat Isyak
  • 9:30 mlm - Jamuan Malam Raya
2) Solat Sunat Aidil Adha

  • 7:15 pagi - Takbir Raya
  • 8:00 pagi - Solat Sunat Aidil Adha
  • 9:00 pagi - Jamuan Raya
3) Ibadah Korban

  • 10:00 pagi    Sembelihan Lembu Korban
  • 10:30 pagi    Lapahan dan Persediaan
  • 12:00 tgh     Jamuan Tengahari
  • 1:00 tgh      Agihan Daging Korban


Alhamdulillah, semoga ukhwah ahli khariah terus kukuh dalam kita menyambut hari kebesaran dalam Islam ini. Hayatilah erti pengorbanan supaya dapat bekorban apa yang di miliki atau disayangi demi untuk memberi kebahagiaan kepada saudara se Islam kita demi mencari redha Allah. Belakangkan kepentingan diri dan berkorban dengan penuh ikhlas. Semoga pengorbanan ini ada nilaiannya di sisi Allah. 

Selamat Hari Raya Aidil Adha !!

Saturday, September 28, 2013

Mesyuarat AJK Surau al-Faaizeen 28/9/13

Pagi tadi berlangsung mesyuarat AJK Surau Al-Faaizeen. Antara agenda mesyuarat ialah pengenalan AJK dan tugasan, penubuhan lajnah dan tugasan, dan membincangkan program sambutan aidil adha termasuklah urusan ibadah korban. Tuan Syed Harun Al Yahya selaku pengerusi surau turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi dan AJK surau sessi 2005-2013 dan juga pengerusi dan AJK pembinaan surau. 

Antara perkara yang diputuskan bersama ialah: 

  1. mengadakan ceramah khas Aidil Adha oleh Ustaz Amran, 
  2. takbir malam raya akan diadakan di surau, 
  3. penyediaan ruang solat tambahan untuk wanita dengan menyediakan penyangkuk untuk tirai, 
  4. jamuan secara sumbangan 'potluck' di pagi raya, 
  5. hebahan termasuklah pendaftaran petugas ibadah korban,
  6. edaran kupon agihan daging korban bagi setiap ahli khariah mengikut bilangan rumah, 
  7. rayuan sumbangan tabung surau bagi menampung saguhati penceramah yang mencapai RM910 sebulan dan pembayaran bil TNB dan Syabas,
  8. dan sebagai permulaan semua AJK bersetuju untuk menyumbangkan minima RM20 setiap bulan bagi pengisian tabung surau.

Solat sunat aidil adha akan bermula tepat jam 8:00 pagi yang akan dipimpin oleh Iman 1 iaitu Ustaz Roslan Bin Mohd Isa. Lawatan tapak juga di lakukan untuk menentukan tapak yang sesuai untuk ibadah korban nanti. Sehubungan dengan itu satu majlis gotong royong bagi membersihkan tapak akan di adakan pada minggu hadapan. Mesyuarat juga mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan T-shirt bagi petugas ibadah korban.

Bangunan Tambahan Untuk Dapur, Stor Dan 
Ruang Utiliti Sedang Di Bina dan hampir 50% Siap

Lawatan Ke Tapak Ibadah Korban

Mesyuarat AJK Berlansung Lancar Di Hadiri
Oleh Semua AJK Termasuk Wakil Muslimah

Tuan Syed Harun Mempengerusi Mesyuarat



Tuesday, September 3, 2013

Majlis Jamuan Raya Surau Al-Faaizeen 30/8/13

Majlis Jamuan Raya Surau Al-Faaizeen telah diadakan pada 30/8/13 bermula jam 9:00 malam di perkarangan surau Al-Faaizeen. Pelbagai juadah telah di sediakan termasuklah jamuan nasi, laksa, nasi dagang dan aneka kueh-mueh. Empat khemah didirikan bagi menampung para tetamu yang berjumlah kurang lebih 250 orang iaitu dari ahli khariah surau Al-Faaizeen, jemaah masjid As-Salam, surau Al-Islah dan kawasan sekitar Prima Beruntung. Semoga silaturahim akan terus utuh dan mesra antara ahli masyarakat yang diikat kemas oleh talian ikhlas dan kasih sayang. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin daripada seluruh AJK dan warga Surau Al-Faaizeen.



 


 
 



Friday, August 23, 2013

Jemputan Majlis Hari Raya Surau al-Faaizeen

SELAMAT HARI RAYA
Maaf Zahir dan Batin
Daripada Seluruh AJK Surau al-Faaizeen
Di Jemput Semua Muslimin Dan Muslimat
Ke Majlis Silaturahim Raya 1434H
Pada 30 Ogos 2013
Bermula Jam 8:30 Malam

Thursday, August 15, 2013

Ustaz Amran

Alhamdulillah malam tadi di adakan kuliah maghrib oleh Ustaz Amran di surau Al-Faaizeen yang dihadiri oleh para jemaah sekitar 40 orang. Tajuk kupasan Ustaz malam tadi ialah perihal hadis Rasulullah tentang adab2 makan.



عن عمر بن ابي سلمة رضي الله عنهما قال كنت غلاما في حجر رسول الله صلى الله عليه وسلم 
 و كنت يدي تطيش في صحفة فقال  
لي رسول الله يا غلام سم الله و كل بيمينك و كل مما يليك فمازالت تلك طعمتي بعد 
 (رواه البخاري و مسلم و هذا لفظ البخاري )

Dari 'Umar bin Abi salamah Radhiallahu 'anhuma dia berkata: dulu (waktu remaja) saya berada dalam didikan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam dan tangan saya bergerak (ke satu tempat ke tempat yang lain) maka Rasullah berkata kepadaku:
"Wahai pemuda, Bacalah basmalah, dan makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang berada dekat denganmu".
Dan (sifat makan yang diajarkan Rasul ini) terus saya lakukan.
(HR. Bukhori dan Muslim dan ini lafadz Bukhori)







Sunday, June 23, 2013

Imarah Surau






Alhamdulillah surau al-Faaizeen terus imarah dengan solat berjemaah dan majlis2 ilmu. Beranda dan foyer surau sudah pun di basuh dan samak pada minggu lepas. Ia memberi kemudahan kepada musafir untuk singgah bagi menunaikan solat tanpa perlu masuk ke ruang solat utama yang berkunci (bagi keselamatan). Ampaian bersama sejadah dan telekung juga tersedia bagi kegunaan. 

Pada hujung minggu lalu, proses pemindahan saki baki barangan dari surau lama telah berlangsung. Sebahagian barangan ini akan dijual kepada pemborong barangan terbuang. Manakala sebahagian lain pula akan disimpan. Plan bangunan tambahan untuk fungsi tiga dalam satu sebagai bangunan stor, dapur dan bilek utiliti (kelas/dewan) juga sedang dipaparkan di papan kenyataan untuk penilaian para ahli khariah. InsyaAllah projek pembinaan bangunan tambahan akan bermula target selepas bulan Ramadan nanti.

Alhamdulillah surau kita ini terus imarah sebagai pusat ibadah dan kegiatan masyarakat. Majlis2 ilmu kuliah maghrib  juga berlangsung mengikut jadual.


  1. Ustaz Lutfi - bacaan dan tafsiran Hadis pada setiap Ahad.
  2. Ustaz Ayub - Kitab Feqah Mazhab Shafie pada Khamis minggu pertama dan ketiga.
  3. Imam Halim - Kitab Usuluddin Sirajul Huda pada Selasa minggu pertama dan ketiga.
  4. Ustaz Abu Bakar - Kitab Aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah pada Selasa minggu keempat.
  5. Ustaz Amran - tajuk bebas pada Rabu minggu keempat.
InsyaAllah pihak AJK Surau akan usahakan pengajian Kitab Tasauf bagi melengkapkan disiplin asas ilmu Fardu Ain yang menjadi tuntutan wajib bagi setiap individu  Muslim.


Ustaz Fauza Ali
Pada 29 dan 30 Jun ini, pihak AJK Surau telah menjemput penceramah tersohor Ustaz Fauza Ali untuk Majlis khas di surau al-Faaizeen sempena penghujung bulan Syaaban dan bagi menyambut kedatangan bulan mulia Ramadan al-Mubarak. Majlis bermula dengan Kuliah Maghrib pada 29 Jun 2013, diikuti dengan majlis Qiamullail pada pukul 4am. Majlis disudahi dengan Kuliah Subuh pada pagi 30 Jun 2013. Ketiga-tiga program ini akan dipimpin oleh yang berbahagia Ustaz Fauza. Semua ahli Khariah dan muslimin dan muslimat di kawasan sekitar adalah dijemput hadir menyertai program khas kita ini. Semoga majlis kita dilimpahkan rahmat dan barokah oleh Allah SWT.



Para Jemaah Usai  Solat Isyak Berjemaah

Sunday, May 19, 2013

Surau Al-Faaizeen Meraikan Ahli Khariah dan Semua Umat Islam

Pintu Utama Surau
Pandangan Depan Surau
Ruang Wanita

Gate Masih Belum Di Pasang

Surau Al-Faaizeen

Jom Kita Imarah kan Rumah Allah

Alhamdulillah Surau Al-Faaizeen Prima Beruntung telah beroperasi dengan jayanya untuk kegunaan ahli khariah khasnya dan seluruh umat muslim seluruhnya. Carpet telah selesai di pasang dengan indahnya sebulan  yg lalu. Pagar sekeliling juga sudah siap sepenuhnya. Land scapping pun sudah siap dengan rumput pun sudah di tanam dan tumbuh subur. Pokok2 buahan juga di tanam di sekeliling, semoga akan dapat membesar dengan subur walaupun dalam keadaan cuaca panas sekarang ini. 

Peralatan PA system dan kipas dinding dan kipas berdiri juga sudah mencukupi dan berfungsi dengan baik. Jam jadual solat juga tersergam di dinding depan walaupun baru2 ini rusak di panah petir, namun telah di baiki dua minggu lepas. 

Terima kasih kepada semua penyumbang dana bagi pembinaan surau Al-Faaizeen ini. Semoga infaq muslimin dan muslimat sekelian mempunyai nilaian yang besar di sisi Allah dan menjadi amal-jariah yang memberi manfaat berterusan.

Alhamdulillah syiar Islam dalam bentuk azan berkumadang sebanyak lima kali sehari semalam menyeru sekelian manusia untuk mendirikan tuntutan solat fardu. Bilal2 kita setia menjalankan tugas tanpa jemu. Purata bilangan jemaah untuk solat maghrib dan isyak ialah dalam lingkungan 40 orang manakala untuk solat subuh sekitar 15 orang. Solat zohor dan asar pula purata jemaah ialah 8 orang. Alhamdulillah, semoga bilangan para jemaah akan terus meningkat pada hari2 mendatang ini.

Bacaan hadis daripada kitab Fadhail Amal dan Muntakab Hadis menjadi rutin harian pada setiap selepas solat maghrib dan subuh. Kuliah maghrib mingguan di adakan pada setiap khamis malam dan ahad malam. Kuliah pada selasa malam pula di adakan dua kali sebulan. Manakala kuliah Rabu malam pula di adakan sebulan sekali. Semua ahli khariah khasnya dan seluruh muslimin dan muslimat di jemput hadir. Semoga surau Al-Faaizeen akan terus imarah dengan pelbagai aktiviti ilmu. Kita semua dambakan barokah dan rahmat Allah.

Bangunan utiliti surau yang akan berfungsi sebagai bilek kuliah, dapur dan stor juga akan di bangunkan sedikit masa lagi dan dana untuk membiayainya juga telah diperolehi oleh seoarang dermawan. Dua item yang masih tertangguh ialah pemasangan gate dan pemasangan talian elektrik. Kita berharap semoga perkara ini juga dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.

@@@

Monday, March 11, 2013

Mesyuarat Progres Pembinaan Surau 10/3/13

Alhamdulillah Surau Baru al-Faaizeen telah dibuka untuk kegunaan semenjak 5/3/13 walaupun masih belum siap sepenuhnya. Yang penting syiar Islam terus dilaksanakan dengan seruan azan 5x sehari untuk solat fardu dan mendirikan solat berjemaah yang disertai oleh ahli khariah sekelian.

Malam tadi berlangsung mesyuarat khas membincangkan progress pembinaan surau yang di pengerusikan oleh Hj Azman Hassan selaku pengerusi surau. Mesyuarat diadakan selepas solat maghrib dan di sertai oleh 26 orang ahli khariah.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah prioriti untuk pemindahan fius box letrik oleh pihak kontraktor dan TNB, pembinaan pagar keselamatan, pemasangan sistem PA, pemasangan karpet, dan pemindahan barangan dari surau lama. 

Hj Azmi selaku pengerusi AJK Teknikal akan follow-up dengan pihak kontraktor untuk menyiapkan segala kerja2 finishing touch yang masih outstanding. Syed Harun ditugaskan untuk berhubung dengan pihak PLUS memohon tanah buangan "projek lane ke-3" untuk digunakan bagi meratakan laman surau. 

Kerja2 landscape akan dilakukan selepas perataan tanah dan penyiapan pagar. Pemasangan karpet dijangkakan berlaku selepas 17/3/13 setelah mendapat green light dari pihak yang menaja. Manakala urusan pemasangan sistem PA dijadualkan bermula pada 11/3/13 yang akan diuruskan oleh En Jailani.

Marilah kita sama2 doakan semoga segalanya akan berjalan lancar dan surau kita ini dapat hidup dengan solat berjemaah dan imarah dengan segala program bermanfaat. Jazakallah.








Tn Hj Azman Hassan
mempengerusikan mesyuarat progres
pembinaan surau al-Faaizeen
10/3/13




Sunday, March 3, 2013

Surau Udah Bersih

Alhamdulillah majlis gotong royong membersihkan surau baru kita telah selamat berjalan pada pagi ini. Ruang solat telah di basuh dan di samak dengan air tanah. Ruang kaki lima, tandas, tempat wuduk dan laman sekitar juga telah dibersihkan. Semak samun dan pokok2 menjalar telah dibuang. Racun rumpai disembur di sekeliling pagar. 

Tuan Pengerusi surau Hj Azman dalam ucapannya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi dan mengucapkan terima kasih kepada sekelian yang hadir. Harapan agar surau baru yang cantek dan luas ini dapat kita imarahkan. 

Dan bagi program pertamanya selaku perasmian Ustaz Roslan mewakili Baitul Islah akan mengadakan majlis aqiqah pada malam rabu minggu ini dan semua ahli khariah dijemput hadir bersama ahli keluarga sekelian. Ustaz memberitahu dua ekor kambing akan ditumbangkan. Majlis akan bermula dengan solat maghrib secara berjamaah, yang akan merupakan solat berjamaah sulong kita di surau ini. InsyaAllah azan akan berkumandang. Alhamdulillah. 


Surau Baru Al-Faaizeen 
Menggamit Imarah Ibadah 
Para Ahli Khariah


Sessi Gotong Royong 
Mengumpul Seluruh 
Ahli Khariah


Wednesday, February 27, 2013

Gotong Royong


Sukacita dimaklumkan bahawa sessi "gotong royong" membersihkan Surau baru Al Faaizeen  dan kawasan sekitarnya akan diadakan seperti berikut :-

Hari : Ahad
Tarikh : 3hb Mac 2013
Jam : 8.30 pagi

Sila bawa peralatan yang bersesuaian & maklumkan kepada ahli kariah lain.

Sekian. Terima kasih.

Wednesday, January 16, 2013

Aqidah Sanusiah - Kitab Sirajul Huda






  • SIFAT NAFSIAH 

  1. Wujud

  • SIFAT SALBIAH  

  1. QidaM 
  2. Baqa'
  3. Mukhlafatuhu Lilhawadith 
  4. Qiyamuhu Binafsih
  5. Wahdaniat


          • SIFAT MA'ANI

          1. Qudrat
          2. Iradat
          3. Ilmu
          4. Hayat
          5. Sama'
          6. Bashar
          7. Kalam
          • SIFAT MA'NAWIYAH
          1. Kaunuhu Qadiran
          2. Kaunuhu Muridan
          3. Kaunuhu ‘Aliman
          4. Kaunuhu Hayyan
          5. Kaunuhu Sami’an
          6. Kaunuhu Bashiran
          7. Kaunuhu Mutakalliman


          Sifat Nafsiah:
                Sifat Nafsiah iaitu dari zat itu sendiri, bukan sifat yang menumpang pada zat itu. Sifat ini dikatakan Nafsiah kerana tidak menunjukkan makna yang menumpang pada diri zat. Menurut Jumhur Ulama’ sifat ini menunjukkan kepada zatnya, bukan menunjukkan kepada perkara yang menumpang pada zat.
                Sifat ‘Wujud’ dikatakan Sifat Nafsiah ertinya, wujud itu bukan merupakan sifat yang menumpang atau menempel pada Zat Allah s.w.t. akan tetapi Zat Allah s.w.t. itu dengan sendirinya kewujudan Allah. Ataupun Zat Allah dengan Wujud Allah tidak dapat dipisahkan. Berbeza dengan Sifat Ma’ani seperti Ilmu, kerana sifat ini merupakan sifat yang menempel pada Zat Allah. Ertinya sifat Ilmu itu terpisah dengan Zat Allah. Sebab Allah mengetahui sesuatu dengan Ilmu-Nya, bukan dengan Zat-Nya. Hanya sifat ‘wujud’ sahaja yang termasuk dalam Sifat Nafsiah.  

          Sifat Salbiah:
                Salbiah maksudnya, menanggalkan, menolak ataupun menafikan. Maksud sifat Salbiah dalam hal ini iaitu menolak sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah s.w.t. Umpamanya menolak sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah seperti Baqa’ ertinya kekal. Sifat ini menafikan sifat Fana’ ataupun binasa bagi Allah s.w.t.

          Sifat Ma’ani:
                Sifat Ma’ani ialah sifat yang Maujud atau ada yang berdiri pada Zat Allah s.w.t. yang menyebabkan Zat itu bersifat dengan suatu hukum Sifat Ma’nawiyah. Umpamanya Sifat Ma’ani seperti Ilmu, sifat ini ialah sifat yang berdiri pada Zat Allah. Ertinya Ilmu itu sifat Allah bukan Zat Allah. Allah s.w.t. dapat mengetahui sesuatu dengan Ilmu-Nya bukan dengan Zat-Nya. Yang menyebabkan zat itu bersifat dengan sifat suatu hukum Sifat Ma’nawiyah maksudnya Allah dikatakan Kaunuhu ‘Aliman (Keadaan-Nya Berilmu). Kerana Allah mempunyai sifat Sama’ maka Allah dikatakan Kaunuhu Sami’an (Keadaan-Nya Mendengar).

          Sifat Ma’nawiyah:
                Sifat Ma’nawiyah iaitu suatu perkara yang sabit atau yang tetap bagi Zat Allah s.w.t.bersifat dengan Sifat Ma’ani. Di antara Sifat Ma’ani dengan Sifat Ma’nawiyah tidak terpisahkan. Misalnya Keadaan Allah Berilmu (Kaunuhu ‘Aliman – Sifat Ma’nawiyah), ini kerana Allah mempunyai sifat Ilmu (Sifat Ma’ani). Ataupun Allah s.w.t. dikatakan Kaunuhu Qadiran (Keadaan-Nya Berkuasa – Sifat Ma’nawiyah) kerana Allah mempunyai sifat Qudrat (Kuasa – Sifat Ma’ani) dan bergitu seumpamanya.
                Ada beberapa sebab sifat-sifat ini dinamakan dengan Sifat Ma’nawiyah iaitu, Sifat Ma’nawiyah merupakan cabang dari Sifat Ma’ani. Sesuatu yang bersifat dengan ‘Alim dan Qadir umpamanya tidak boleh bersifat dengan sifat-sifat itu melainkan setelah adanya ilmu dan qudrat baginya. Sifat Ma’ani adalah sebagai ilat atau sebagai malzum kepada Sifat Ma’nawiyah sejak Azali lagi, perhubungan antara keduanya adalah sebagai hubungan antara ilat dengan ma’lulnya.

          Sifat yang Wajib bagi ALLAH:

          1.  Sifat WUJUD: Ada
                Allah s.w.t. wajib memiliki sifat Wujud ertinya Allah s.w.t. itu wajib ada. Allah s.w.t. adalah sebagai Zat yang Wajibul Wujud ertinya Zat yang wajib adanya. Wujudnya Allah s.w.t. tidak diragukan lagi, kerana adanya Allah dapat dibuktikan dengan dalil Al-Quran dan Al-Hadith (dalil naqal) dan dapat dibuktikan dengan akal (dalil aqali)
                Allah s.w.t. tidak ada yang menjadikan-Nya dan tidak pula Allah menjadikan diri-Nya sendiri. Adanya Allah tidak diduhului dengan tiada dan tidak diakhiiri dengan tiada. Dan mustahil Allah itu tiada. Wujudnya Allah s.w.t. mutlak ertinya adanya Allah s.w.t. itu wajib, dan mustahil jika Allah tiada ada. Kewujudan-Nya tidak dibatasi oleh sesuatu, waktu, keadaan mahupun tempat.
                Wajib pada Syara’ atas tiap-tiap mukalah mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan tentu sungguh ada Allah Ta’ala dan tidak terima ‘Adam (tidak ada). Pengakuan didalam hati dengan tentu ada sungguh Allah Ta’ala itulah dinamakan wajib pada ‘aqal. Dan pengakuan tentu tidak, tiada Allah Ta’ala itulah dinamakan mustahil.

          2.  Sifat QIDAM: Sedia
          Qidam ertinya ‘Sedia’, iaitu adanya Allah s.w.t. tidak dengan permulaan dan mustahil bagi Allah kalau berpermulaan. Sebab jika Allah berpermulaan bererti ada yang menjadikan dan jika sesuatu itu ada yang menjadikan maka sudah pasti itu bukan Tuhan. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, kerana Allah Dia-lah yang awal dan Dia-lah yang akhir.
                Qidamnya Allah, atau Allah itu dahulu atau sedia, ertinya adanya Allah itu tidak bermula dan tidak berakhiran itu maksud tiada kesudahan bagi Allah. Adanya Allah jelas dan nyata dan menguasai atas segala yang batin atau mengetahui segala yang tersembunyi. Zat-Nya tidak dapat disaksikan dengan mata begitu juga akal dan hati tidak mampu untuk mengetahui tentang-Nya.
                Sifat Qidam merupakan Sifat Salbiah, iaitu menafikan atau menolak sifat yang berlawanan dengannya. Jika sudah terang dan nyata Allah bersifat Qidam ertinya tidak berpermulaan, bererti sifat Qidam itu sendiri menafikan sifat yang menjadi lawan dengannya, iaitu sifat Huduts atau baharu. Adanya Allah sudah tentu semenjak dari zaman Azali lagi iaitu sebelum segala sesuatu itu ada. Setiap insan wajib mengimani tentang kewujudan Allah itu tidak berpermulaan dan tidak pula akan berakhir.
                Wajib pada syara’ atas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan tentu sungguh Sedianya Allah Ta’ala dan tidak terima Huduth (baharu atau berpermulaan). Pengakuan didalam hati dengan tentu sungguh Allah Ta’ala bersifat Sedia itulah dinamakan dai wajib pada ‘aqal, dan pengakuan didalam hati dengan tentu tidak baharu itulah dimanakan dia mustahil pada ‘aqal.

          3.    Sifat BAQA’: Kekal
                Allah s.w.t wajib mempunyai sifat Baqa’,ertinya kekal ataupun tidak berkesudahan, wujud Allah kekal untuk selama-lamanya, tidak ada batasan waktu ataupun masa. Orang yang beriman kepada Allah menyakini bahawa yang menciptakannya itu kekal tanpa berkesudahan, begitu juga harus dipercayai oleh setiap insan bahawasanya kehidupan makhluk akan berakhir dengan kebinasaan dan kehancuran, dan akan ia kembali kepada Allah s.w.t. Yang Maha Kekal.
                Dengan mempercayai akan Allah mempunyai sifat Baqa’, ianya akan menguatkan keyakinan tentang adanya kehidupan di akhirat, sebagai meneruskan kehidupan di atas dunia yang fana’ ini. Kerana masih ada Pencipta Yang Maha Baqa’ yang mengaturkan tentang kehidupan di akhirat kelak.
                Wajib pada syara’ atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu sungguh Allah Ta’ala Kekal dan tidak menerima Fana’ (binasa). Pengakuan didalam hati dengan tentu sungguh Allah Ta’ala bersifat Baqa’ itulah dikatakan wajib pada ‘aqal, dan pengakuan tentu didalam hati akan binasa Allah Ta’ala itu mustahil pada ‘aqal.
            
          4.  Sifat MUKHALAFATUHU LILHAWADITH: Berlainan dengan sekali makhluk
                Allah s.w.t. bersifat Mukhalafatuhu Lilhawadith, ertinya Allah berlainan dengan sekalian makhluk. Sudah tentu mustahil bagi Allah menyerupai akan sesuatu. Sebab Allah tidak sama dengan bentuk makhluk ciptaan-Nya, baik makhluk yang bernyawa ataupun tidak bernyawa. Berbeza Zat Allah dengan makhluk ertinya Zat-Nya tidak sama dengan makhluk. Berbezanya sifat-safit Allah dengan makhluk ciptaan-Nya maksudnya, sifat-sifat Allah tidak sama dengan makhluk.
                Perbezaan Zat Allah dengan sesuatu yang baharu maksudnya bahawa Zat Allah tidak sama dengan benda lain yang diciptakan-Nya, yang memiliki zat yang baharu. Berbeza sifat Allah dengan sesuatu yang baharu juga tidak sama dengan sifat segala benda selain Allah. Begitu juga dengan perbuatan Allah, tidak sama dengan perbuatan baharu atau segala benda yang ada di alam ini.
                Jika kita bayangkan Allah itu dengan sesuatu benda yang ada di alam ini bererti kita telah mempersekutukan Allah dengan yang lain, syirik hukumnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dalam menghayati sifat-sifat yang wajib bagi Allah ini, jangan sampai pemikiran dan minda kita dipimpin oleh syaithan, sehingga sampai pada peringkat mempersekutukan Allah. Na’zubillah.
                Wajib pada syara’ diatas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta i’tiqad dan mengaku putus didalam hati akan tentu sungguh bersalahan Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan tiada menyamai-Nya (Mumathalatuhu Lilhawadith). Firman Allah Ta’ala:
                “Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”   (Asy-Syura, 11)
                Dan bersalahan Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan juga tidak menyamai-Nya itulah dikatankan sifat Mukhalafatuhu Ta’ala Lilhawadith dan makna bersalahan itu tiga perkara:
                1)    Bersalahan pada zat dengan makna Zat Allah Ta’ala bukannya Jirim yang bertempat walaupun dimana tempat an makhluk itu semuanya jirim yang bertempat. Kalau bergitu tidak boleh dikatakan Allah Ta’ala itu bertempat dimana-mana tempat, maka jika didapati didalam Al-Quran atau Hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu ayat Mutashabihat dan Hadith Mutashabihat.
                2)    Dan bersalahan sifa itu ialah sifat-sifat Allah itu bukan ‘Aradh yang bertangkap pada jirim dan bertempat bersama dengan jirim. Kalau bergitu. Tidak bolehlah dikatakan Allah Ta’ala berhajat dimana-mana hajat dan sebagainya daripada sifat-sifat yang baharu. Dan bersalahan pada perbuatan itu ialah perbuatan Allah Ta’ala, bukan seperti perbuatan yang baharu. Kerana perbuatan Allah Ta’ala menjadikan yang tiada itu ada, dan bukan pula perbuatan Allah Ta’ala itu daripada yang baharu.
          3)    Dan dalil bersalahan Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan tidak menyamai itu ialah kita fikir, jikalau Allah Ta’ala tidak bersalahan bagi segala yang baharu, nescaya adalah Ia menyamai dengan sesuatu yang baharu ini, maka jika menyamai dengan yang baharu tentulah Ianya baru seperti itu juga dan iaitu bathal kerana telah terdahulu bersifat Qadim dengan dalil-dalil yang nyata maka tetaplah Allah Ta’ala bagi segala yang baharu dan tidak menyamainya itulah pengakuan yang sebenar.
            
          5.  Sifat QIYAMUHU BINAFSIHI: Berdiri dengan sendiriNya.
                Qiyamuhu Binafsihi maksudnya berdiri dengan sendiriNya, bahawa Allah bersifat berdiri dengan sendiri bukan bergantung dengan selain dari-Nya. Allah tidak bergantung terhadap yang diciptakan-Nya, sebaliknya sesuatu yang diciptakan-Nya itu setiap saat selalau berhajat kepada Allah s.w.t.
                Allat s.w.t. tidak berhajat dan berkehendak terhadap sesuatu yang lain, tidak memerlukan bantuan kepada makhluk-makhluk-Nya. Allah bersifat Qiyamuhu Binafsihi, mustahil jika Allah berhajat dan meminta pertolongan dengan alam yang akan binasa.
                Allah Maha Berkuasa memiliki segala apa yang ada dilangit dan bumi. Kemudian tidak sukar bagi Allah untuk mengurusi segala sesuatu yang ada di alam ini. Dia Maha Perkasa tidak pula Ia memerlukan bantuan dalam mengurusi segala ciptaan-Nya yang banyak itu.
                Wajib pada atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu sungguh berdirinya Allah Ta’ala dengan sendirinya (Qiyamuhu Binafsihi), dan tidak berkehendak kepada yang menjadi dan tidak berkehendak kepada zat (Muhtajun Ila Ghairih).

          6.    Sifat WAHDANIYAH: Allah Maha Esa (Ke-Esa-an)
                Wahdaniyah ertinya Allah Maha Esa, tidak berbilang-bilang jumlahnya. Esa Allah Ta’ala itu ialah pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Af’al-Nya. Allah itu Esa, maka janganlah sekali-kali kita membayangkan atau memikirkan bahawa ada tuhan yang lain selain daripada Allah. Beriman kepada ke-Esa-an Allah, memudahkan bagi kita untuk beribadah dan berharap kepada Yang Satu.
                Di samping kita percaya bahawa Zat Allah s.w.t. itu Esa, kita juga harus yakini bahawa sifat-sifat Allah itu mempunyai nilai yang tidak mengenal batas. Jika dikatakan Allah itu Maha Pemurah, maka pemurahnya Allah itu tidak mengenal batas. Jika Allah itu bersifat Maha Pengampun, maka ampunan Allah itu tidak mengenal batas. Walau betapa besar dosa dan kesalah nseseorang itu, jika Allah menghendaki keampunan-Nya, maka dosa-dosa orang tersebut akan diampuni Allah s.w.t.
                Dan makna Esa pada Zat Allah itu ialah Zat Allah yang tidak bersusun daripada beberapa Zat yang boleh dibilangkan dengan sekurang-kurangnya bilangan dengan baharu, boleh dikerat, dibelah dan dipotong seperti bagi zat yang baharu.
          Kam-mutashil
          Zat
          Berbilangan yang berhubungan dengan Zat Allah Ta’ala
           
          Sifat
          Berbilangan yang berhubungan dengan Sifat Allah Ta’ala
           
          Perbuatan
          Berbilangan yang berhubungan dengan Perbuatan Allah Ta’ala
           
           
           
          Kam-munfashil
          Zat
          Bilangan yang berasing-asing pada Zat Allah Ta’ala
           
          Sifat
          Bilangan yang berasing-asing pada Sifat Allah Ta’ala
           
          Perbuatan
          Bilangan yang berasing-asing pada Perbuatan Allah Ta’ala
                Wajib pada atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku putus dalam hatinya akan tentu sungguh Allah Ta’ala itu Esa pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Af’al-Nya. Dan tidak Ta’addud (berbilang-bilangan).
            
          7.  Sifat QUDRAT: Allah Maha Kuasa (Pekuasa)
                Qudrat ertinya Allah Maha Berkuasa keatas segala sesuatu. Hanya Allah yang berkuasa, sedangkan selain Allah sebenarnya tidak mempunyai kekuatan dan kekuasaan. Kekuasaan Allah mutlak milik-Nya. Kekuasaan Allah itu bukan datangnya kemudian, tetapi sudah ada semenjak zaman Azali lagi, iaitu sebelum adanya sesuatu selain daripada Alah s.w.t.
                Allah s.w.t. menjadikan segala sesuatu yang dikehendaki-Nya. Firman Allah s.w.t.:
                “Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah”, maka jadilah ia.”  (Yassin: 82)
                Pada sifat Qudrat, Allah Ta’ala Maha Kuasa mengadakan dan meniadakan sesuatu mumkin, dan bagi Qudrat itu beberapa takluq (menuntut sifat akan satu pekerjaan lain daripada menuntut di Zat-Nya), iaini beberapa tugas.
                Wajib pada syara’ diatas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan tentu sungguh ada Tuhan Pekuasa, iaitu Allah Maha Kuasa, dan tidak sekali-kali ‘Ajzun (lemah).
            
          8.  Sifat IRADAT: Berkehendak
                Allah s.w.r. mempunyai sifat Iradat, iaitu berkehendak, maksudnya bahawa Allah s.w.t. dalam menciptakan segala sesuatu berpedoman kepada kehendak-Nya. Begitulah alam semesta ini terjadi, kerana Kudrat dan Iradat Allah, diatas Kekuasaan dan Kehendak Allah s.w.t. dan tidak ada batasannya dan tidak dapat dilukiskan melalui fikiran manusia tentang keinginan Allah.
                Dan Iradat itu ialah satu sifat yang sedia kala pada Zat Allah. Dengan sifat Iradat, Allah Ta’ala mengkehendaki dan menentukan mumkin dengan setengah-setengah barang yang harus atas mumkin.
                Wajib pada syara; atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh didalam hatinya ada Allah Ta’ala itu bersifat Iradat, dan tidak menerima Karahah (terpaksa).
          9.    Sifat ILMU: Allah Maha Mengetahui
                Allah bersifat ilmu, ertinya bahawa Allah Maha Mengetaui. Allah memiliki pengetahuan dan mengetahui akan segala sesuatu, yang sudah berlaku, yang sedang berlaku dan yang akan berlaku, baik di langit, dibumi mahupun yang diantaranya, dan segala sesuatu yang diciptakan-Nya.
                Dan Ilmu itu ialah sifat yang ada ia di Zat Allah Ta’ala, yang nyata segala perkara yang wajib dan yang mustahil dan yang harus itu dengan Ilmu yakni dengan pengetahuan tidak jahil. Dan makna mengetahui akan segala perkara yang wajib itu mengetahui dengan sungguhnya dan mengetahuisegala yang mustahil itu mengetahui dengan tidaknya, dan mengetahui perkara yang harus itu mengetahui akan ada atau tiada atau akan tiadanya.
                Wajib atas syara’ atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu sungguh ada di Zat Allah Ta’ala itu Ilmu, dan tidak menerima akan Allah itu Jahlun (jahil).

          10.   Sifat HAYAT: Hidup
                Allah s.w.t. wajib mempunyai sifat Hayat iaitu hidup, dan mustahil bagi-Nya mempunyai sifat binasa yang sama dengan makhluk. Sifat hidup Allah ini tidak sama sebagaimana dengan kehidupan alam, seperti manusia, malaikat haiwan dan makhluk-makhluk yang lainnya. Allah hidup tidak berhajat terhadap sesuatu, seperti pada makhluk yang menghajatkan dan memerlukan nyawa, nafas, makan dan minum. Kehidupan makhluk merupakan hasil daripada pemberian Allah, maka pada saat yang dikehendaki-Nya, kehidupan makhluk itu dapat berakhir.
                Wajib diatas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh didalam hatinya Allah mempunyai sifat Hayat, satu sifat yang ada pada Zat Allah dan dengan sifat Hayat ini Allah Ta’ala hidup, dan tidak akan menerima akan Maut.

          11.   Sifat SAMA’: Allah Maha Mendengar
                Sama’ ertinya Mendengar dan Allah bersifat Sama’ bahawa Allah Maha Mendengar segala sesuatu yang diperkatakan oleh makhluk-makhluk-Nya. Allah Maha Mendengar baik yang kuat mahupun perkara yang dibisikkan oleh makhluk-Nya. Walaupun begitu pendengaran yang ada pada Allah tidak berhajat pada sesuatu yang ada pada makhluk-Nya.
                Wajib pada syara’ atas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh pada hatinya akan sifat Sama’ ini yang ada pada Allah Ta’ala, dan tidak sekali-kali Allah menerima sifat Shomam (tuli).

          12.   Sifat BASYAR: Allah Maha Melihat
                Allah bersifat Basyar ertinya bahawa Allah Maha Melihat apa sahaja yang ada di alam ini. Allah dapat melihat segala gerak geri makhluk-Nya. Namun Penglihatan Allah itu tidaklah sama dengan penglihatan makhluk ciptaan-Nya. Allah tidak berhajat seperti makhluk-Nya untuk melihat.
                Wajib pada syara’ atas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan tentu sungguh ada pada Allah Ta’ala itu sifat Basyar, dan iaitu satu sifat yang ada di Zat Allah. Tidak Allah sekali-kali menerima akan sifat ‘Umyun (buta).

          13.   Sifat KALAM: Allah Berkata-kata
                Allah mempunyai sifat Kalam atau berkata-kata, dan mustahil bagi Allah Yang Maha Agung itu bersifat berlawanan dengan sifat Kalam. Walaubagaimanapun Kalam Allah tidak seperti yang dihajatkan oleh makhluk-Nya. Kalam Allah itu dinamakan Wahyu yang diberikan kepada makhluk-Nya sebagai mendatangkan kebenaran-Nya.
                Wajib diatas tiap-tiap mukalaf itu mengetahui serta mengaku akan tentu sungguh pada hatinya akan Allah mempunyai sifat Kalam. Iaitu satu sifat yang sedia kala di Zat AllahTa’ala. Dengan adanya sifat inilah Allah tidak akan sekali-kali menerima sifat Bukmun (bisu)

          14.   Sifat KAUNUHU QADIRAN: Allah tetap selalau dalam keadaan Berkuasa  
          15.   Sifat KAUNUHU MURIDAN: Allah tetap dalam keadaan Menghendaki
          16.   Sifat KAUNUHU ALIMAN: Allah tetap dalam keadaan Mengetahui
          17.   Sifat KAUNUHU HAYYAN: Allah tetap dalam keadaan Hidup
          18.   Sifat KAUNUHU SAMI’AN: Allah tetap dalam keadaan Mendengar
          19.   Sifat KAUNUHU BASIRAN: Allah tetap dalam keadaan Melihat
          20.   Sifat KAUNUHU MUTAKALLIMAN: Allah tetap dalam keadaan Berkata-kata   



          Rumusan daripada: Al-Misbahul Munir 
          Abdul Aziz Bin Ismail Al-Fatani







          Imam Halim mengajar Kitab Usuluddin Sirajul Huda
          pada setiap Selasa minggu ke-3 dan ke-4
          Kuliah Maghrib di Surau al-Faaizeen